IsTiQaMaH DaLaM MuJaHaDaH



Ramai yang tahu dan mahu melakukan kebaikan. Sayangnya, selalu gagal untuk melaksanakannya. Ramai yang tidak mahu melakukan kejahatan tapi sering terdorong melakukannya. Kita seolah-olah hilang kuasa untuk mengawal diri kita sendiri. Seperti ada kuasa yang lebih kuat dalam membentuk dan mengendalikan diri kita ini. Ya, kita sebenarnya sentiasa diburu malah dibelenggu oleh dua musuh yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Musuh itu ialah syaitan dan hawa nafsu.

Bagaimana kita hendak mengalahkan dua musuh ini demi mengembalikan pimpinan diri kepada diri sendiri? Samalah dengan berdepan dengan musuh yang zahir, tidak ada jalan lain melainkan ‘berperang’ dengannya. Cuma berperang dengan musuh batin berbeza dengan musuh zahir, justeru musuh zahir dapat dilihat dan tipu dayanya dapat dinilai dengan akal dan mata. Tegasnya, musuh zahir agak lebih mudah didekati daripada musuh batin. Perang melawan musuh batin khususnya hawa nafsu dan syaitan ini dinamakan mujahadah. Ia adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan zahir.

Ini kerana medan peperangan kedua-dua musuh ini berlaku dalam diri kita. Serangan, tikaman dan ledakannya berlaku dalam diri kita. Walaupun tidak kedengaran dentumannya tetapi bisanya lebih berkesan. Justeru, ramai manusia yang mampu mengalahkan musuh zahir tetapi gagal mengalahkan hawa nafsunya sendiri.Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang maksudnya:

“Mereka yang gagah bukanlah mereka yang dapat mengalahkan musuh zahirnya, tetapi adalah mereka yang dapat mengawal kemarahannya”.

Namun bukan mudah mengawal kemarahan justeru kemarahan adalah sifat buruk yang didalangi syaitan. Syaitan adalah makhluk yang paling derhaka dan paling banyak menipu daya manusia. Bahkan sangat sedikit manusia yang berjaya mengatasi tipu dayanya. Dalam Al-Quran Allah menjamin orang yang tidak dapat ditipu daya oleh syaitan ialah mereka yang ikhlas.Begitu juga dengan hawa nafsu, bukan mudah hendak dilawan kehendak dan hasutannya. Ini kerana nafsu itu adalah sebahagian daripada diri kita sendiri. Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri. Apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita sendiri. Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja kita dapat menilai apakah kehendak itu baik atau jahat. Namun setakat tahu buruk atau baiknya belum cukup untuk kita mampu melaksanakan atau meninggalkan. Kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak mahu. Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu.

Syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti lesu. Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita di tipu dan dihasutnya. Manusia sebaik Nabi Adam pun boleh ditipu oleh iblis hingga terkeluar dari syurga, inikan pula kita. Oleh kerana kedua-dua musuh itu tidak pernah berehat dari menyerang kita, maka kita sewajarnya tidak berehat untuk mempertahankan diri. Bermujahadah tidak boleh bermusim atau mengikut ‘mood’. Ia adalah satu perjuangan yang tidak henti-henti hinggal malaikat maut mencabut nyawa kita. Malah, hingga ke saat nyawa kita hendak bercerai dari jasad pun, syaitan terus berusaha menipu daya kita. Bahkan pada saat itu, tipu dayanya lebih dahsyat kerana itulah peluang terakhir untuk menyesatkan manusia agar mati dalam keadaan tidak beriman.

Setiap dosa yang kita buat kerana termakan hasutan syaitan adalah umpama titik hitam pada hati. Makin banyak kita berdosa, makin gelaplah hati. Bayangkan kalau kita bermujahadah sekali sekala&ldots;. ia umpama mencuci pakaian yang sangat kotor sekali sekala. Sudahlah jarang di cuci, kotoran yang terpalit makin banyak hari demi hari. Begitulah hati, jika malas ‘dibasuh’ dengan mujahadah, maka akan bertambah kotorlah ia hingga payah hendak dibersihkan lagi.Oleh itu, satu prinsip asas dalam bermujahadah ialah istiqamah. Yakni konsisten, terus menerus dan berkesinambungan dalam ‘peperangan’ dengan syaitan dan hawa nafsu. Jika kita hanya bermujahadah tapi tidak istiqamah, maka mujahadah itu tidak akan memberi kesan. Istiqamah adalah sifat terpuji sama seperti mujahadah. Malah kedua-duanya merupakan gandingan mantap dalam setiap diri yang ingin menuju Allah. Istiqamah dari segi bahasa adalah tegak lurus. Yakni berdiri teguh di jalan yang lurus, berpegang pada akidah yang tepat dan melaksanakan syariat dengan tekun serta berakhlak baik secara konsisiten. Firman Allah yang bermaksud :

" Oleh yang demikian, maka ajaklah mereka dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau di perintahkan, dan janganlah engkau turutkan kehendak nafsu mereka." (As-Syura :15)

Untuk beristiqamah dalam mujahadah, kita perlukan keteguhan keyakinan (iman), penjagaan lisan dan kawalan tindakan. Ingatlah, syaitan yang kita hadapi adalah makhluk kreatif yang sangat komited dengan azamnya untuk menyesatkan manusia. Hanya senjata mujahadah dan perisai istiqamah mampu berdepan dengan mereka. Marilah sama-sama kita bermujahadah akan diri kita dan istiqamah dalam setiap apa yang kita lakukan.

Nabi Muhammad Umat Terpuji

12 Rabiulawal menjadi saksi
Dunia dihiasi manusia Ulul Azmi
Siti Aminah hadir disisi
Membelai Baginda dibuai mimpi
Tanpa Abdullah, Baginda berdikari
Menjadi tauladan peribadi insani
Yatim piatu takdir diri
Diasuh Abdul Mutalib bagai anak sendiri

Al-Amin gelaran diberi
Baginda pemuda amanah lagi rendah diri
Pintar, fikir benar dan berani
Menjadi pedoman umat zaman kini
Mahligai kasih dibina bersama
Teman sejati Siti Khadijah manusia istimewa
Dilimpahi rezeki dengan berniaga
Cinta berputik kekal selamanya

Gua Hira’ wadah wahyu diterima
Gigil dan takut tidak terkata
Jibrail diutuskan dengan rela
Mengajar Nabi ilmu membaca
Iqra’, Bacalah….
Menjadi titik pertemuan wadah perjuangan
Ajaran wahyu menjadi pegangan

Tidak kira bangsa, keturunan dan zaman
Semua tunduk sembah kepada ar-Rahman
Tutur bicaranya penuh sopan
Kata-kata penuh hikmah dan kebenaran
Seru manusia mengajar kebaikan
Cegah manusia dari kemungkaran
Baginda dikutuk, dicaci dan dihina
Tidak terlintas untuk putus asa
Sebaliknya berdoa supaya hati terbuka
Menerima Islam sebagai sandaran utama

Di kala manusia dibuai mimpi indah
Dirimu rebah bersujud alas sejadah
Di kala manusia bersuka ria
Dirimu istiqamah berbicara
Di kala manusia mementingkan diri dan harta
Dirimu menganjurkan jemaah dan menderma
Di kala manusia kekenyangan dan alpa
Dirimu sanggup berlapar dan beribadah kepadaNya

Perjuanganmu tiada henti
Pahit getirmu menjadi saksi
Pengorbananmu sentiasa direstui
Penyampaianmu sentiasa dikagumi
Tutur katamu tiada illusi
Bahkan panduan kepada Muslim sejati
Dari Mekah ke kota Madinah
Membawa kata kalimah Syahadah
Tempat bermula Islam menjajah
Panduan utama al-Quran dan as-Sunnah

Itulah Baginda Nabi kita
Peribadi agung lagi mulia
Jadikanlah Baginda sebagai idola
Terus berjuang sampai bila-bila

RENUNGILAH WAHAI SAHABAT....

KISAH CINTAKU
~~~~~~~~~~~~~

Suatu pagi aku terbangun dan berpeluang melihat mentari terbit. Aaah…kecantikan alam ciptaan Allah memang tiada tolok bandingnya. Sedang aku memerhati, aku puji Tuhan atas segala keindahan yang telah Ia disajikan itu. Aku duduk dan terasa kehadiranNya di sisiku. Dia bertanya kepadaku, "Adakah kamu mencintai Aku?" Aku menjawab, "Sudah tentu! Engkaulah Penciptaku, masakan aku tidak mencintaiMu."

Kemudian Dia bertanya lagi, "Jika kamu ditakdirkan cacat anggota, adakah kamu akan mencintaiKu?" Aku tergamam seketika. Aku lihat tangan, kaki dan seluruh anggotaku; aku teringat pelbagai kerja yang mustahil aku lalukan tanpa anggotaku ini yang selama ini tidak kusedari kepentingannya. Kemudian aku jawab, "Tentunya ia amat sukar bagiku, tetapi aku akan tetap akan
mencintaiMu."

Kemudian Dia bertanya lagi, "Jika kamu ditakdirkan buta, adakah kamu akan menyayangi segala ciptaanKu?" Bagaimana mungkin bagiku untuk mencintai sesuatu yang ditak mampukulihat? Kemudian aku terfikir… ramai orang yang ditakdirkan buta di dunia ini, dan mereka masih mencintai Allah dan segala ciptaanNya. Lantas aku menjawab, "Amat sukar bagiku membayangkan keadaanku yang sedemikian rupa, namun begitu, aku akan tetap menyintaiMu, ya Allah."

Dia bertanya lagi, "Jika kamu ditakdirkan pekak, adakah kamu akan tetap mendengar kepada kata-kataKu?" Bagaimana mungkin bagiku mendengar jika aku pekak? Kemudian aku tersedar bahawa mendengar itu tidak semestinya menggunakan telinga; tetapi menggunakan hati. Aku jawab, "Walaupun amat takdir itu amat berat bagiku, namun aku akan tetap menyintaiMu."

Dia menyambung lagi persoalannya, "Jika kamu ditakdirkan bisu, adakah kamu akan terus memujiKu?" Aku tertanya lagi, bagaimanakah aku boleh memuji tanpa suara? Aku terfikir kemudian yang Allah mahu kita memujiNya dari dalam hati dan jiwa kita; tidak penting bagaimanakah bunyinya. Kemudian aku menjawab, "Sungguhpun aku tidak mampu untuk membunyikan pujian bagimu, aku tetap akan memujiMu."

Dan Dia terus bertanya lagi, "Adakah kamu benar-benar menyintaiKu?" dengan nada yang tegas dan penuh keberanian. Aku jawab dengan yakin, "Ya, benar Tuhanku, Aku menyintaimu kerana Engkaulah satu- satunya Tuhanku dan Tuhan yang sebenar!"

Aku fikir jawapanku tadi sudah cukup bagus untuk menjawab soalanNya tadi., tetapi Dia terus bertanyakanku lagi, "Kalau begitu,mengapa kamu masih melakukan dosa?" Aku jawab, "Kerana aku cuma manusia biasa yang selalu lalai; aku tidak sempurna… aku bukan maksum."

"Kalau begitu, kenapa ketika kamu senang dan gembira… kamu lupakanKu, kamu lari jauh daripadaKu? Dan kenapa ketika kamu susah atau mahukan bantuan… kamu terus ingat kepada Aku; kamu datang dekat dan merayu kepada Aku?"

Aku tidak mampu berkata apa-apa. Yang kusedari.. titisan panas turun membasahi pipiku. Dia sambung lagi, "Mengapa kamu buat begini… kadang kala sujud menyembahKu, dan kemudian membelakangiKu; tidak pedulikanKu? Mengapa kamu hanya datang mencariKu hanya ketika kamu mengingatiKu? Mengapa kamu meminta dengan penuh tamak dan mementingkan diri sendiri?Mengapa kamu meminta kepadaKu sedang kamu tidak setia kepadaKu?" Kurasakan titisan panas mengalir deras membasahi pipiku tanpa henti.

"Mengapa kamu malu kepadaKu? Mengapa kamu tidak mahu menyebarkan suruhanKu? Mengapa ketika kamu dizalimi, kamu adukan kepada yang lain sedang Aku sedia mendengar segala rintihanmu? Mengapa kamu sering membuat alasan ketika Aku memberimu peluang untuk berkidmat di jalanKu?"

Ku gagahi bibirku untuk mengucapkan patah-patah perkataan bagi menjawab segala soalan yang bertubi-tubi diajukan kepadaku. Tetapi, aku tidak punyai jawapan bagi persoalan-persoalan tadi. Lidahku yang selama ini lancar berkata-kata, kini kelu. Otakku ligat mencari jawapan.. atau alasan… namun tiada apa yang kutemui sebagai jawapan.

Dia berkata-kata lagi… "Kamu diberikan sebuah kehidupan. Aku jadikan dalam dirimu keistimewaan dan kelebihan berbanding orang lain untuk kamu berjuang di jalanKu, tetapi kamu tetap berpaling dari jalanKu. Aku tunjukkan kepadamu kata-kataKu sebagai panduan kamu dalam hidup ini, tetapi kamu tidak mahu mempelajari atau menghayatinya. Acap kali Aku berkata-kata kepadamu, tetapi kamu tutup telingamu. Acap kali Aku berikan pelbagai rahmat dan nikmat kepadamu, tetapi kamu berpaling daripada melihatnya. Aku turunkan kepada kamu PesuruhKu, tetapi kamu tidak ambil peduli ketika sunnahnya ditinggalkan. Aku dengar segala permintaan dan rayuanmu kepadaKu… dan semuanya telah Aku perkenankan dengan pelbagai cara."

Sambungnya lagi, "Kini… adakah kamu menyintaiKu?" Aku tidak mampu menjawabnya lagi. Bagaimana harus aku jawab persoalan ini? Dalam tak sedar, aku malu dengan segala apa yang telah aku lakukan selama ini. Aku tidak lagi punya alasan bagi menyelamatkan diriku. Apa yang bolehku jawab bagi persoalan itu?

Ketika hatiku berteriak menangis, dan bercucuran air mata mengalir turun di kedua-dua belah pipiku, aku merintih, "Oh Tuhanku… ampunkanlah segala dosaku. Aku tak layak menjadi hambaMu ya Allah…" Kemudian Dia menjawab, "Sifatku pengampun… barangsiapa yang memohon keampunan dariKu, nescaya Aku ampunkannya. Dan… Aku ampunkan kamu wahai hambaKu." Aku bertanya kepadaNya, "Mengapa Engkau tetap mengampunkanku sungguhpun aku melakukan kesalahan berulang kali dan memohon ampun berulang kali? Sampai begitu sekalikah cintaMu terhadapku?" Dia menjawab, "Kerana kamu adalah ciptaanKu. Aku sekali-kali
tidak akan mengabaikan kamu. Apabila kamu menangis, Aku akan bersimpati kepadamu dan mendengar segala rintihanmu.
Apabila kamu melonjak kegirangan, Aku akan turut gembira dengan kegembiraanmu. Apabila kamu berasa gundah dan kesepian, Aku akan memberikanmu semangat. Apabila kamu jatuh, Aku akan membangkitkanmu. Apabila kamu keletihan, Aku akan membantumu. Aku akan tetap bersama-samamu hinggalah ke hari yang akhir Dan Aku akan menyayangimu selama-lamanya."

Seingat aku… aku tidak pernah menangis sebegini. Aku sendiri tidak mengerti mengapa hatiku ini begitu keras; tidak mampu menangis menyesali segala dosaku selama ini. Dan… buat kali pertamanya dalam hidupku ini… aku benar-benar solat dalam ertikata yang sebenar.

Doa UnTuK iBu BaPa



Ya Allah,
Rendahkanlah suaraku bagi mereka,
Perindahlah ucapanku di depan mereka.
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkanlah hatiku untuk mereka.

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya
Atas didikan mereka padaku dan
Pahala yang besar
Atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku,
Peliharalah mereka
Sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan,
atau kesusahan yang mereka derita karena aku,

atau hilangnya sesuatu hak mereka karena perbuatanku,
jadikanlah itu semua
Penyebab rontoknya dosa-dosa mereka,
Meningginya kedudukan mereka dan
Bertambahnya pahala kebaikan mereka dengan perkenan-Mu, ya Allah
sebab hanya Engkaulah
yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,
Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika magfirah-Mu lebih dahulu mencapai diriku,
Maka izinkahlah aku memberi syafa'at untuk mereka,

sehingga kami semua berkumpul
Bersama dengan santunan-Mu
di tempat kediaman yang dinaungi kemulian-Mu, ampunan-Mu serta
rahmat-Mu.

Sesungguhnya Engkaulah
yang memiliki Karunia Maha Agung,
serta anugerah yang tak berakhir dan
Engkaulah yang Maha Pengasih Diantara semua pengasih.


Mari kita kenang dosa kepada orang tua kita.
Siapa tahu hidup kita dirundung nestapa karena kedurhakaan kita.
Karena kita sudah menghisap darahnya, tenaganya, airmatanya, keringatnya.


Istighfar, istighfar,istighfarlah..
Barangsiapa yang matanya pernah sinis melihat orangtuanya.
Atau kata-katanya sering mengiris melukai hatinya, atau yang jarang memperdulikan dan mendoakannya.
Percayalah bahwa anak yang durhaka siksanya didahulukan didunia ini.

Renungan Sejenak....

Kebelakangan ini pelbagai masalah yang melanda dunia. Ujian dari Allah datang menimpa, masyarakat Islam dihina, ditindas, diseksa dan dibunuh. Alangkah dasyatnya dunia pada hari ini...tidak ada lagi sifat perikemanusiaan, tidak ada lagi sifat belas kasihan. Umat Islam dilayan seperti haiwan, dibuat sesuka hati... Agama Islam di dalam ancaman, musuh-musuh Islam cuba menghancurkan Islam dari sehari ke sehari. Al-Quran dan As-Sunnah tidak lagi dijadikan panduan, sebaliknya undang-undang ciptaan manusia diagung-agungkan. Ulamak-ulamak dihina dan dikecam bukan sahaja para kufar namun oleh umat Ilam sendiri, Umat Islam cuba dihapuskan, dilabel sebagai pengganas, terrorist dan sebagainya...diYa Allah alangkah sedihnya melihat keadaan ini, alangkah sedihnya melihat penderitaan penduduk Palestin, bantulah mereka menghadapi musuhMu Ya Allah, sesungguhnya mereka sudah tidak berdaya tanpa bantuanMu Ya aLLAH......

Wahai sekalian umat..di manakah kita tatkala saudara seislam yang lain memerlukan pertolongan? Di manakah kita tatkala agama Islam dihina? di manakah kita ketika mana ulama' Islam dikecam? butakah kita? bisukah kita?pekakkah kita? Kita hidup dalam keadaan bersenang lenang, aman damai, namun masih lagi tidak bersyukur. Lihatlah saudara seislam kita di Palestin, hidup dalam kesengsaraan, penderitan, menjadi pelarian di negara sendiri... betapa pilunya melihat kanak-kanak yang tidak berdosa menanggung kesakitan..menanggung kepedihan dan kesengsaraan akibat dari tangan-tangan mereka yang tidak berperikemanusiaan. Ibubapa dan ahli keluarga diseksa dan dibunuh dengan kejam, anak-anak kecil hanya mampu melihat...tiada lagi sepatah kata terucap, hanya linangan air mata membasahi pipi. Darah para suhada' yang gugur ibarat air sungai yang mengalir. Namun anak-anak ini tidak gentar menghadapi musuh Allah, malah mereka lebih berkobar-kobar untuk berjihad menentang kezaliman. Sungguh mulianya mereka di sisis Allah. Ya Allah..tempatkanlah mereka di tempat yang mulia di sisiMu...Subhanallah.... kenapakah Aku tida seperti mereka? Ya Allah, berikan aku sifat keberanian yang ada pada mereka walaupun hanya secebis...

Wahai Umat Islam sekalian, bangkitlah dari lenamu, lihatlah keadaan di sekelilingmu, renungkan lah dan fikirkanlah. Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita, apakah yang telah kita lakukan untuk mereka, apakah yang akan kita lakukan untuk mereka, Jika kita mengaku bahawa kita benar-benar Islam, buatlah sesuatu untuk mengurangkan bebang mereka. Walaupun kita tidak dapat syahid seperti mereka, namun kita dapat jadi sebahagian daripada mereka.






Hari Valentine....

Tarikh 14 Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing.

Maka pada 14 Februari, pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulama mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ia seperti menuang air ke daun keladi. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram. Ia adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom kuno dan juga Kristian.


SEJARAH SAMBUT HARI VALENTINE


Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine, maka kita akan dapati bahawa terdapat empat pendapat berkaitan dengannya.


1)Pendapat pertama

Mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.


Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka.


2) Pendapat kedua

Mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.


i) Versi pertama.

Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II.Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.

Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan From your Valentine (Daripada Valentinemu).Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.


ii) Versi kedua.

Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin.
Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit.. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.


3) Pendapat ketiga.

Ia dirayakan sempena kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu.. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. Tanggal 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

4) Pendapat keempat.

Sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.
Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam.

Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain.

Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.;
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”
(al-Kafirun ayat 1-6)


Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam”. Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Pemergian yang Ditangisi